Showing posts with label Kelemahan Dalam Menggunakan Data Pendapatan Negara. Show all posts
Showing posts with label Kelemahan Dalam Menggunakan Data Pendapatan Negara. Show all posts

Masalah Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa

Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa bertujuan untuk menentukan sama ada taraf hidup rakyat telah meningkat atau menurun melalui masa.

Masalah Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa wujud kerana faktor-faktor berikut yang turut mempengaruhi taraf hidup rakyat tidak diambil kira:

  1. Perubahan dalam tingkat harga umum

    Taraf hidup sesebuah negara akan meningkat apabila jumlah barangan yang dinikmati oleh rakyat bertambah. Ini ditunjukkan oleh kenaikan dalam nilai keluaran negara dan perbelanjaan negara.

    Namun begitu, keluaran negara dan perbelanjaan negara juga boleh meningkat jika tingkat harga umum telah naik, sementara jumlah barangan tetap tidak berubah.

    Untuk menghapuskan kesan perubahan tingkat harga umum, pendapatan negara benar (pendapatan negara mengikut harga tetap) digunakan.

    Y0 = IH0 / IH1 x Y1 di mana

    Y0 = pendapatan negara benar
    Y1 = pendapatan negara mengikut harga semasa
    IH0 = indeks harga pengguna tahun asas
    IH1 = indeks harga pengguna tahun semasa

  2. Perubahan dalam jumlah penduduk

    Jika jumlah penduduk negara bertambah dengan kadar yang lebih besar daripada kadar kenaikan pendapatan negara, taraf hidup rakyat akan menurun.

    Untuk menghapuskan kesan perubahan jumlah penduduk, pendapatan per kapita (PPK) digunakan.

    PPK =Pendapatan Negara / Jumlah Penduduk

  3. Perubahan dalam kualiti barang

    Perbandingan nilai pendapatan negara antara dua tahun yang berlainan tidak menggambarkan perubahan dalam kualiti barang yang turut menmpengaruhi taraf hidup.

    Peningkatan kualiti barang pada lazimnya akan membawa kepada kenaikan tingkat harga umum.

    Dalam kes ini, peningkatan tingkat harga umum akibat peningkatan kualiti barangan tidak menjejaskan taraf hidup rakyat.

    Untuk mengatasi masalah perbandingan pendapatan negara melalui masa, perubahan tingkat harga umum akibat perubahan kualiti barang harus dipastikan.

  4. Perubahan dalam pengagihan pendapatan

    Perubahan pendapatan negara melalui masa tidak menunjukkan sama ada pengagihan pendapatan menjadi lebih setara atau kurang setara.

    Pengagihan pendapatan yang lebih setara melalui masa bermaksud taraf hidup rakyat negara telah meningkat.

  5. Perubahan-perubahan lain

    Perubahan dalam jenis keluaran negara

    Pertambahan keluaran negara akibat pertambahan barang pengguna akan meningkatkan taraf hidup rakyat. Pertambahan keluaran negara akibat pertambahan senjata api tidak akan meningkatkan taraf hidup rakyat kerana tidak memberi faedah/utiliti kepada pengguna secara langsung.

    Perubahan dalam masa kerja dan masa rehat pekerja

    Jika pertambahan keluaran negara adalah akibat daripada peningkatan dalam masa kerja pekerja, taraf hidup rakyat tidak meningkat. Jika penurunan dalam keluaran negara adalah akibat daripada peningkatan dalam masa rehat pekerja, taraf hidup rakyat tidak semestinya menurun.

    Perubahan dalam eksternaliti negatif

    Jika peningkatan dalam pendapatan negara turut mengakibatkan masalah pencemaran alam sekitar, menjejaskan kesejahteraan semulajadi dll, taraf hidup rakyat tidak naik.

Masalah Perbandingan Pendapatan negara Antara Negara-Negara

Perbandingan Pendapatan Negara di antara negara-negara bertujuan membandingkan taraf hidup rakyat di antara negara-negara yang berlainan.

Masalah Perbandingan Pendapatan Negara di antara negara-negara wujud kerana faktor-faktor berikut yang turut mempengaruhi taraf hidup rakyat negara maju dan kurang maju tidak diambil kira:

  1. Perbezaan dalam jumlah penduduk

    Perbandingan nilai pendapatan negara antara negara-negara maju dan kurang maju adalah kurang tepat jika faktor jumlah penduduk tidak diambil kira. Ukuran Pendapatan Per Kapita (PPK) merupakan pengukur yang lebih tepat untuk membandingkan taraf hidup di antara negara-negara.

  2. Perbezaan dalam Komposisi Keluaran

    Negara maju
    seperti Amerika Syarikat membelanjakan sebahagian besar pendapatan negara ke atas keluaran senjata api dan ujian angkasa lepas yang tidak memberi faedah/utiliti kepada rakyat secara langsung. Oleh itu, nilai pendapatan negara yang tinggi tidak bermakna taraf hidup adalah tinggi.

    Negara kurang maju selalu membelanjakan sebahagian besar pendapatan negara ke atas keluaran barang pengguna dan barang modal yang membawa manfaat kepada rakyat secara langsung. Nilai pendapatan negara yang rendah tidak semestinya bermakna taraf hidup rakyat adalah rendah.

    Perbandingan pendapatan negara harus mengambil kira perbezaan dalam komposisi keluaran.

  3. Perbezaan dalam penaksiran butir-butir pendapatan negara

    Sesetengah negara mengambil kira pelacuran dan perjudian dalam penghitungan pendapatan negara. Sesetengah negara menganggapnya sebagai kegiatan haram.

    Sesetengah negara mengambil kira bayaran pindahan kerajaan sebagai komponen pendapatan negara tetapi negara-negara lain tidak.

    Oleh itu, butir-butir pendapatan negara harus dikenalpasti apabila membuat perbandingan pendapatan negara di antara negara-negara.

  4. Perbezaan Dalam tingkat harga umum

    Negara maju mempunyai tingkat harga umum yang lebih tinggi daripada negara kurang maju. Keadaan ini menyebabkan negara maju mempunyai nilai pendapatan negara yang lebih tinggi daripada negara kurang maju.

    Untuk mengatasi masalah perbezaan tingkat harga umum, pendapatan negara benar harus dibandingkan.

  5. Perbezaan dalam jumlah kegiatan produktif yang tidak dibayar dengan wang
    Kebanyakan kegiatan produktif di negara maju seperti membersihkan rumah, membasuh baju, dan memotong rumput dilakukan oleh pekerja yang diupah dengan wang. Ini meninggikan nilai pendapatan negara di negara maju.

    Kebanyakan kegiatan produktif di negara kurang maju dilakukan sendiri / tidak dibayar dengan wang. Ini merendahkan nlai pendapatan negara di negara kurang maju.

    Untuk membuat perbandingan taraf hidup di antara negara-negara, perbezaan dalam jumlah kegiatan produktif yang tidak dibayar dengan wang harus dikenalpasti.

  6. Perbezaan dalam pengagihan pendapatan

    Perbezaan dalam pengagihan pendapatan harus diambilkira apabila membandingkan pendapatan negara di antara negara-negara.

  7. Perbezaan dalam nilai mata wang

    Untuk mengatasi masalah ini, nilai pendapatan negara yang hendak dibandingkan harus dilakukan berdasarkan sebutan mata wang yang sama.

  8. perbezaan-perbezaan lain

    - Perbezaan dalam jumlah masa kerja dan masa rehat
    - Perbezaan dalam eksternaliti negatif
    - Perbezaan kestabilan politik dan sosial

Kelemahan KNK Mengukur Taraf Hidup Rakyat

Menurut ahli ekonomi, taraf hidup sesebuah negara dapat diukur dengan menggunakan KNK. Biasanya, negara yang mempunyai nilai KNK yang tinggi akan menikmati taraf hidup yang tinggi, dan sebaliknya, negara yang mempunyai nilai KNK yang rendah akan menikmati taraf hidup yang rendah. Namun, penggunaan nilai KNK untuk membandingkan taraf hidup penduduk antara negara mempunyai beberapa kelemahan:

Perbezaan Tingkat Harga Umum

Kenaikan KNK boleh disebabkan kenaikan tingkat keluaran atau kenaikan tingkat harga umum dalam sesebuah negara. Oleh itu, negara yang mengalami tingkat harga umum yang tinggi akibat masalah inflasi tidak semestinya menikmati taraf hidup yang tinggi walaupun nilai KNK negara tersebut lebih tinggi daripada negara lain. Oleh itu, untuk membandingkan taraf hidup penduduk antara negara dengan lebih tepat, konsep KNK benar perlu digunakan.

KNK benar = (Indeks harga tahun asas/Indeks harga tahun semasa) − KNK nominal

Perbezaan Corak Agihan Pendapatan

Taraf hidup penduduk sesebuah negara juga bergantung pada corak agihan pendapatan dalam negara tersebut. Agihan pendapatan yang lebih sama rata membolehkan KNK dikongsi dengan lebih saksama antara penduduk. Sebaliknya, agihan pendapatan yang tidak sama rata menyebabkan sebahagian besar KNK dinikmati segelintir penduduk sahaja. Jadi, negara yang mempunyai KNK yang tinggi tidak semestinya menggambarkan taraf hidup penduduk yang tinggi jika agihan pendapatan dalam negara tersebut adalah tidak sama rata.

Perbezaan Komposisi KNK

Terdapat negara yang mengalami kenaikan KNK kerana menjalankan aktiviti yang tidak menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk seperti perjudian dan pelacuran. Oleh itu, bagi menjamin kenaikan KNK menyumbang kepada kenaikan taraf hidup penduduk sesebuah negara, komposisi KNK harus meliputi pendapatan daripada aktiviti yang memanfaatkan rakyat negara tersebut seperti perbelanjaan pembangunan.